Sabtu, 20 Jun 2015

Bp di serng

Mengimbau kembali sejarah hitam yang berlaku lebih 30 tahun dahulu agar dijadikan iktibar supaya kejadian itu tidak akan berulang lagi, dimana kejadian yang berpunca dari kecewa untuk mendapatkan sesuatu, taksub, ekstrem serta terlibat dengan ajaran sesat tidak mustahil ianya akan berulang jika melihat kepada situasi politik tanahair kita pada hari ini, buktinya doa kehancuran kepada sesama muslim sudah dihalalkan dan sanggup pula mengkafirkan umat Islam yang berbeza ideologi politik dengan mereka.

Ini semua berlaku disebabkan terlalu taksub dan merasakan hanya diri mereka sahaja yang betul, dan mereka yang dianggap tidak betul itu akan cuba untuk dihapuskan dengan apa cara sekalipun samada dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan.

Orang kampung menggelar mereka sebagai kumpulan jubah putih. Ahli-ahlinya hanya terdiri daripada golongan lelaki. Antara individu yang terpengaruh untuk turut menganggotainya termasuklah imam dan bilal.

Persoalan tentang kegiatan mereka di Kampung Mohd. Noor, Batu Lima, Parit Sulong, Johor terjawab pada 16 Oktober 1980 apabila negara dikejutkan dengan peristiwa serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat.

Hakikatnya, tiada siapa menyangka dengan hanya bersenjatakan pedang, mereka sanggup melakukan serangan ‘berani mati’ seperti itu.

Dikenali sebagai kumpulan jubah putih kerana kelibat ahli-ahlinya dilihat mengenakan pakaian jubah berwarna putih. Walaupun agak pelik, kehadiran mereka dikatakan tidak pernah menganggu penduduk kampung.

Malah, salah sebuah tempat yang dikenali sebagai Bukit Payung di kampung tersebut telah dijadikan ‘markas’ oleh ahli-ahli kumpulan itu.

Kepercayaan bahawa apa yang diamalkan menyebabkan mereka kebal, mendorong gerakan serangan ke atas balai polis tersebut dilancarkan.

Detik serangan bermula apabila seramai 15 ahli kumpulan itu yang menaiki dua buah teksi telah menyerang dari bahagian belakang dan depan balai polis serta menetak sesiapa sahaja yang ditemui di situ.

Serangan nekad pada kira-kira pukul 9.30 pagi tersebut telah mencederakan seramai 25 orang terdiri daripada anggota polis, seorang wanita sarat mengandung, enam kakitangan awam balai polis tersebut, seorang budak pejabat dan dua orang awam yang sedang membuat laporan.

Amukan dengan pedang bertulis kalimah syahadah hanya berakhir apabila enam penyerang termasuk ketuanya, Ahmad Nasir Ismail terbunuh.

Saki baki kumpulan itu kemudian menghala ke Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat dan Mahkamah Syariah sebelum bersembunyi di sebuah rumah di Parit Jorak Senawi, terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Serbuan polis di rumah terbabit menjumpai sejadah, bendera putih mengandungi ayat dua kalimah syahadah dan perkataan Muhammad, Mahadi dan Isa dalam huruf Jawi berwarna hijau serta putih. Kedegilan menyerah diri menyebabkan dua lagi anggota kumpulan jubah putih terkorban dan yang lain-lain cedera.

Rentetan peristiwa tersebut, kerajaan telah mengarahkan semua balai polis di negara ini mendirikan pondok kawalan untuk tujuan keselamatan.

Zikir nama ‘Guru Yahya’

Kampung Jorak Senawi, Tongkang Pecah menjadi kawasan persembunyian beberapa ahli kumpulan jubah putih yang diburu polis berikutan serangan mereka ke atas Balai Polis Batu Pahat. Foto: Utusan
Akibat ajaran sesat, sekumpulan lelaki berjubah putih bertindak gila dengan menyerang Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980.

Kumpulan itu dikatakan nekad melakukan serangan tersebut kononnya atas nama jihad dengan tujuan menakluk Batu Pahat dan kemudiannya meneruskan penaklukan mereka ke atas kerajaan negara ini.

Ketua kumpulan itu, Ahmad Nasir Ismail yang berasal dari Kemboja dikatakan berjaya mempengaruhi segelintir penduduk tempatan mengikuti ajaran sesat yang dibawanya dengan mengambil kesempatan di atas rasa tidak puas hati beberapa pemimpin kampung.

Antara yang menjadi kemarahan orang kampung adalah ia dikaitkan dengan kegagalan mereka mendapat hak milik tanah, selain imam yang kecewa kerana tidak lagi dilantik memegang jawatan tersebut.

Ahmad Nasir akan merapati golongan pemimpin yang kecewa itu dengan menyatakan rasa simpati dan akhirnya berjaya meresapkan ajaran sesat di kalangan mereka sebelum ia disebarkan pula kepada orang lain.

Mengimbau kembali tragedi ngeri itu, bekas anggota polis yang bertugas di Balai Polis Tongkang Pechah sewaktu kejadian itu berlaku, Ahmad Nasuha, 83, berkata, sebaik sahaja menerima aduan, polis telah menjalankan siasatan tentang kumpulan ajaran sesat yang didakwa itu.

‘‘Penduduk kampung membuat aduan tentang kumpulan itu yang mengamalkan ajaran sesat di puncak Bukit Payung dan merancang untuk menyerang Balai Polis Batu Pahat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, dia juga dimaklumkan bahawa antara ajaran sesat yang dilakukan kumpulan itu adalah membaca zikir dengan menyebut nama ‘Guru Yahya’ berulang-ulang kali dan tidak perlu menunaikan solat Jumaat.

Bagaimanapun jelas Ahmad, usahanya menjejaki kumpulan tersebut dengan turut mendaki Bukit Payung gagal menemui mereka kerana difahamkan kumpulan itu hanya mendaki bukit tersebut pada waktu-waktu tertentu.

‘‘Kumpulan ajaran sesat itu menempah pedang yang digunakan untuk menyerang balai daripada seorang tukang pedang di daerah ini.

‘‘Namun, siasatan mendapati tukang pedang itu tidak bersalah kerana hanya mengambil tempahan tanpa mengetahui niat sebenar kumpulan ajaran sesat itu,” katanya yang ketika kejadian, berpangkat Lans Koperal.

Sementara itu, motif serangan kumpulan tersebut di Pejabat Kadi Batu Pahat dan Mahkamah Syariah setelah mengamuk di balai polis dikatakan berikutan keputusan hakim mengatakan ajaran dibawa kumpulan itu adalah sesat.

Usaha menemui pihak pejabat kadi bukan sahaja dimaklumkan mereka tidak mempunyai rekod tentang kejadian itu, malah pejabat kadi juga telah dipindahkan berdekatan dengan Masjid Jamek Sultan Ismail.

Manakala pejabat asal bangunan itu telah dirobohkan dan didirikan Bangunan Wakaf yang menempatkan kemudahan mesin dialisis.

Seorang saksi kejadian, Suhari Sarjani, 64, berkata, sekumpulan antara empat hingga lima lelaki berjubah putih dengan kesan darah pada pakaian masing-masing telah bertempik ‘Allahu Akbar’ dengan salah seorang daripadanya bergerak menuju ke bilik pejabat hakim mahkamah syariah.

Menurut Suhari, mahkamah syariah ketika itu ‘menumpang’ kawasan bangunan pejabat kadi.

‘‘Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tiada sesiapa pun cedera. Mereka beredar selepas tidak menemui orang yang dicari,” katanya

Suhari yang ketika itu bertugas sebagai pemeriksa zakat mengakui dia langsung tidak menyedari Balai Polis Batu Pahat telah diserang terlebih dahulu dan pada mulanya sekadar menyangka darah yang terlekat pada jubah putih lelaki yang melakukan serangan itu hanya cat berwarna merah.

‘‘Selepas kejadian itu, kami ada berbual dan hakim berkenaan beritahu, setelah selesai berurusan di pejabat pos, beliau sememangnya mahu ke mahkamah tetapi membuat keputusan balik ke rumah untuk mengambil wuduk terlebih dahulu. Jika tidak, tak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Fakta mengenai Batu pahat..

Batu Pahat (dikenali sebagai Bandar Penggaram) merupakan sebuah daerah di pantai barat Semenanjung Malaysia, di negeri Johor. Daerah ini terletak di tenggara Muar, barat daya Kluang, timur laut Pontian dan selatan Segamat. Daerah Batu Pahat adalah salah satu daripada lapan daerah di Johor. Pada tahun 2008, Batu Pahat di tangga ke-12 di Malaysia sebagai bandar besar yang berkepadatan tinggi.

Batu Pahat terletak sejauh 239 kilometer di selatan Kuala Lumpur. Bandar terdekat dengan Batu Pahat ialah Muar yang terletak 50 kilometer ke utaranya. Bandar Kluang pula berada 52 kilometer di timur. Johor Bahru terletak lebih kurang 70 hingga 100 kilometer ke arah tenggara. Bandar Batu Pahat terletak di tepi beberapa kilometer dari kuala Sungai Batu Pahat mengalir ke Selat Melaka.
Sejarah
Asal usul nama Batu Pahat disusur kembali melalui legenda abad ke-15 apabila tentera Siam menyerang tempat batu yang dipahat di kampung Minyak Beku bagi mendapatkan bekalan air bersih semasa pengunduran mereka. Ketika itu, mereka sedang dikejar oleh tentera Melaka pimpinan Tun Perak, Bendahara dari kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Pada tahun 1456, tentera Siam yang dipimpin oleh Laksamana Awi Di Chu telah menduduki Batu Pahat dahulu sebelum menyerang Melaka. Menurut kisah lain, selepas Portugis menduduki Melaka, dipercayai bahawa batu-batu granit yang digunakan untuk membina Kota A Famosa diperoleh daripada muara Sungai Batu Pahat. Maka bandar Batu Pahat mendapat namanya daripada "batu yang dipahat" di muara itu.
Terkenal kerana ikan masin pada suatu ketika dahulu, Batu Pahat sebelum ini dikenali sebagai "Bandar Penggaram" yang bermaksud "bandar pembuat garam". Bandar Penggaram dibuka pada 1 Januari 1894 oleh Dato' Muhamad Salleh bin Perang, Dato' Bentara Luar Johor atas titah Sultan Abu Bakar, sultan Johor ketika itu.

"Aku disusahkan oleh dua Penghulu Rahmat dan Kitam. Dua tiga kali berjumpa dengan aku minta engkau membuka Batu Pahat. Aku jawab dengan Rahmat dan Kitam, jangan engkau semuanya sumpah dan tidak ikut apa-apa perintah dia kelak. Dia jawab pada aku, tidak sekali-kali. Aku fikir bolehlah engkau buka Batu Pahat itu, mana-mana tempat anggaran engkau hendak jadikan Bandar..."
- Titah Sultan Abu Bakar kepada Dato' Muhamad Salleh bin Perang.

Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.
Pembahagian pentadbiran dan kawasan
Mukim di Batu Pahat
Daerah Batu Pahat terbahagi kepada 14 buah mukim iaitu :
Mukim Lubok (Mukim I)
Mukim Bagan (Mukim II)
Mukim Peserai (Mukim III)
Mukim Simpang Kiri (Mukim IV)
Mukim Simpang Kanan (Mukim V)
Mukim Linau (Mukim VI)
Mukim Tanjung Semberong (Mukim VII)
Mukim Sri Gading (Mukim VIII)
Mukim Minyak Beku (Mukim IX)
Mukim Kampung Bahru (Mukim X)
Mukim Sungai Punggor (Mukim XI)
Mukim Sungai Kluang (Mukim XII)
Mukim Chaah Bahru (Mukim XVII)
Mukim Sri Medan (Mukim XVIII)

Pihak Berkuasa Tempatan
Semua mukim dan kampung ditadbir oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Daerah Yong Peng. Sebelum itu dikenali sebagai Majlis Daerah Batu Pahat dan Majilis Daerah Batu Pahat Timur msing-masing. Terdapat 525 buah kampung telah digazetkan.
Pada tahun 2008 kerajaan masih belum ada sebarang perancangan untuk menaik taraf Batu Pahat kepada sebuah Bandaraya walaupun pembangunan dan kemajuan di Batu Pahat sudah jauh meninggalkan Alor Star dan Kuala Terengganu yang mana kedua-dua sudah diiktiraf bandaraya.
Penduduknya seramai 335,368 orang terutama Melayu, Cina dan India. Lelaki seramai 169,087 dan perempuan 166,281 orang.
Antara pekan-pekan kecil dalam daerah Batu Pahat ialah:
Sebelah utara bandar Batu Pahat (jalan ke arah Muar); ialah Simpang Lima, Peserai, Parit Besar (Bagan), Semerah, Parit Sulong, Seri Medan, Tongkang Pecah,
Sebelah timur (jalan ke arah Kluang); ialah Seri Gading, Bandar Universiti, Parit Raja dan Ayer Hitam.
Sebelah selatan (arah ke Pontian) ialah Sungai Ayam, Sungai Suloh, Tanjung Labuh, Senggarang, Punggor, Rengit,
Batu Pahat mengalami pembangunan yang amat pesat mendahului Muar yang satu ketika dulu merupakan bandar kedua besar di Johor selepas Johor Bahru.  Beratus-ratus buat taman perumahan tumbuh sama ada di keliling bandar Batu Pahat atau di pekan-pekan kecil yang suatu ketika dahulu merupakan ‘pekan koboi’ seperti Parit Raja, Ayer Hitam, Rengit dan Parit Sulong.

Pendidikan
Kalau daerah Johor Bahru mempunyai sebuah IPTA yang ke 5 tertua di Malaysia (Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Batu Pahat merupakan daerah kedua di Johor mempunyai sebuah kampus utama dan tetap IPTA iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Parit Raja.  Sebuah lagi daerah yang mempunyai sebuah kampus cawangan ialah Segamat iaitu UITM Kampus Johor.
Dalam daerah Batu Pahat juga terdapat Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Hussein Onn, Pusat Latihan Teknologi Tinggi Lanjutan (ADTEC), Kolej Polytech MARA dan Kolej Komuniti kampus Batu Pahat.
Terdapat dua buah sekolah berasrama penuh di dalam daerah Batu Pahat, iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), dan SM Sains Batu Pahat.
Berbanding dalam tahun 70an, waktu itu daerah BP mempunyai kurang dari 20 buah sekolah Menengah.  Pada masa ini (2011) terdapat lebih 20 buah sekolah menengah yang diiktiraf oleh Kerajaan:
SM Teknik Batu Pahat
SMK Tinggi Batu Pahat, Jalan Zaharah
SMK Datuk Bentara Luar, Jalan Syed Salim
SMK Dato’ Onn, Simpang Lima
SMK Datin Onn Jaafar, Kg Kenangan Dato Onn
SMK Seri Gading
SMK Munshi Sulaiman, Jalan Kluang
SMK Convent,Jalan Tan Swee Hoe
SMK Perempuan Temenggung Ibrahim
SMK Tun Aminah, Jalan Kluang
SMK Senggarang
SMJK China Batu Pahat
SMK Tunku Mahmood Iskandar, Senggarang
SMK Tun Ismail, Parit Raja
SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong
SMK Tun Sardon, Rengit
SMK Yong Peng
SMK Datuk Menteri, Ayer Hitam
SMK Dato Seth, Yong Peng-Muar
SMK Seri Medan
SMK Penghulu Saat, Parit Sulong
SMK Tunku Putra, Tongkang Pechah
SMK Datuk Syed Esa, Jalan Indah
SMK Banang Jaya, Taman Banang
SMJK China, Rengit
SMK Semerah
SMK Permata Jaya, Rengit
SM Agama Arab Parit Raja
SM Agama Arab Senggarang
SM Agama Arab Parit Sulong
SM Agama Arab Tarbiyyah Islamiyah Batu Pahat

Perkhidmatan
Pengangkutan
Batu Pahat tidak mempunyai jaringan keretapi. Namun demikian pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan kereta api melalui stesen KTM terdekat, iaitu Kluang, kira-kira 50 kilometer dari Bandar Batu Pahat.
Terdapat syarikat-syarikat bas yang beroperasi di Perhentian Bas Jalan Rugayah dari awal pagi sehinggalah lewat malam. Bas-bas tersebut menghubungkan pekan-pekan dalam Batu Pahat dan juga daerah-daerah lain yang menjadi jiran Batu Pahat serta ke bandaraya-bandaraya utama seperti Johor Bahru, Melaka, Kuala Lumpur, dan lain-lain bandar di semenanjung.
Syarikat Bas Antarabandar
Johore Motor Bus Co, Sdn Bhd
Costal Omnibus Co, Sdn Bhd
Syarikat Mayang Sari, Sdn Bhd
Syarikat Pengangkutan Maju, Bhd
Syarikat Tanjau Jaya Bus, Sdn Bhd
Syarikat Causeway Link, Sdn Bhd
Syarikat Intra Desa, Sdn Bhd
Syarikat Bas Ekspres
KKKL Ekspres Sdn Bhd
Transnasional Ekspres
Hasry Ekspres Sdn Bhd
Causeway Link Ekspres Sdn Bhd
S&S Internasional
Orchid Ekspres Sdn Bhd
SP Bumi
707 Travel Group
Cepat Ekspres
SE Super

Terminal feri yang baru terletak di Minyak Beku menyediakan perkhidmatan pelabuhan Indonesia, seperti Tanjung Balai, Bengkalis dan Batam.
Hospital dan pusat penjagaan kesihatan utama.
Hospital Batu Pahat (Kerajaan)
Putra Specialist Hospital (swasta)
Pantai Specialist Hospital (swasta)

Kebudayaan

Kesenian

Lagu Joget Batu Pahat

Tanah Yang Indah Di Negeri Johor
Batu Pahat Daerah Makmur
Sungai Mengalir Ke Kuala
Dari Simpang Kanan Dan Kiri
DiHulu Sungai Kampunglah Medan
Parit Sulong, Pekan Nan Indah
Bukit Pasir dan Tongkang Pecah
Semerah Letak Di Utara

Chorus
Bandar Penggaram Tempat Berniaga
Ramai Yang Membeli Belah Disana
Pisang Salai Di Parit Raja
Air Hitam, Tempat Pelancong
Gunung Banang Tinggi Mengawan
Nampaklah Dari Bukit Soga
Istana Hinggap Sultan Johor
Raja Adil Daerah Makmur
Sri Gading Utuh Terbina
Rengit, Senggarang Tak Kurangnya
Minyak Beku Batu Di Pahat
Nama Diberi Sempenanya
Dahulu Kala Ia Dibuka
Oleh Dato' Bentara Luar
Satu Haribulan Januari
Satu Lapan Sembilan Empat

Penggubah lagu : Encik Zaidin Bin Hj. Noor (Batu Pahat)

Makanan

"Mee Bandung"

Mee Bandung Muar yang terletak berhadapan dengan Hotel Garden Batu Pahat. Untuk ke sana dari Bandar Muar, sebelum Jambatan Batu Pahat, "Benteng" terletak di sebelah kiri. Antara makanan yang popular di sini ialah "mee racun". Batu Pahat juga terkenal dengan pelbagai jenis sup yang boleh didapati di gerai yang terkenal di BP Walk.

Mee rebus dan nasi lemak
Ingin merasai kenikmatan mee rebus asli dan nasi lemak terbaik di Batu Pahat singgah ke sebuah warung kecil di Jalan Zabedah berdekatan Wisma Sing Long.

Tempat menarik
Benteng

"Benteng" merupakan suatu tempat makan yang terkenal di Batu Pahat dan terletak berdekatan dengan tebing Sungai Batu Pahat. Antara makanan yang popular adalah Nasi Beriyani Gam Mat Syah yang terletak di Benteng berhadapan dengan Hospital Pakar Putra (Putra Specialist Hospital).

BP Walk

Pada waktu malam pula, Batu Pahat terkenal dengan "BP Walk" iaitu sebuah kawasan sepanjang Jalan Rahmat yang penuh dengan bermacam-macam jenis gerai makanan termasuklah citarasa tempatan dan barat. BP walk dibuka sehingga 3 atau 4 pagi setiap hari. BP Walk ini juga telah menjadi tumpuan pengunjung dari Kluang, Muar, Pontian dan Air Hitam pada waktu malam.
Lain-lain

Terdapat juga berberapa tempat untuk membeli belah yang terkenal di sini seperti The Summit, Carrefour, The Store (Jalan Rugayah,The summit BP Mall (ke-4 terbesar di Johor) Squre One Mall, Farson Supermarket, Pacific Hypermarket, McDonald Drive Thru, dan Parkson. Terdapat juga tempat beriadah bersama keluarga iaitu BP Water Park yang terletak 2 km dari bandar Batu Pahat di sebelah kiri jalan menghala ke Tongkang Pecah.Terdapat lebih kurang 3 Pusat Bowling dengan lebih 30 lane setiap satu, terdapat 3 Panggung seperti MBO Cinaplex, Big Cinemaplex,dan GSC Cinema. Selain itu terdapat juga pusat-pusat hiburan seperti 2000 dan banyak lagi.

Industri

Batu Pahat turut terkenal sebagai pusat pembuatan barangan elektronik, pemprosesan makanan, pembalakkan kayu, pembuatan porselin, dan industri plastik, selain sebagai pengeksportan utama tekstil di Malaysia ke luar negara. Jeti Batu Pahat juga terkenal dengan sebagai salah satu jeti dalam "segi tiga emas" antara Indonesia dan Malaysia dalam pergerakan bahan rempah dan bahan mentah. Sebuah pelabuhan baru juga telah direncanakan untuk Batu Pahat bagi menangani permintaan pergerakan bahan mentah tersebut. Sebuah pelan yang bernilai lebih kurang RM 500.000.000 telah pun disediakan siap dengan prasarana yang sempurna.

Begitu juga dengan perusahaan dalam pembuatan makanan seperti kilang membuat biskut. Antaranya Munchy's, Hup Seng, dan Hwa Tai. Terdapat juga pelaburan asing di Batu Pahat seperti Sharp Roxy, Sony, Fujitsu, Hitachi, and Mitsumi. Dan terdapat 20 syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia: Harta Packaging, PCCS, Baneng Holdings, S&P, Sharp Roxy, Ramatex, Southex, Prolexus, Fujitsu, Hitachi, Yong Tai, Hwa Tai, AE, Kia Lim, Kayu Wangi, Hup Seng, Xiang Leng, Magnum, SKP, SPI Plastics, BP Plastics, Cheng Yap Sdn Bhd. dan Fast Track Solutions Bhd.

Nostalgia Sekolah Menengah di Batu Pahat

Antara sekolah menengah (selain STBP) yang agak terkenal di Batu Pahat pada tahun 70an ialah Sek Men Perempuan Temenggung Ibrahim (TIGS) dan Sek Men Dato' Bentara Luar (SDBL). Stadium Jalan Ampuan, Batu Pahat juga ada signifikannya tersendiri. Setiap tahun stadium ini merupakan gelanggang pertandingan olahraga antara sekolah-sekolah menengah (MSSD) seluruh daerah Batu Pahat. Malah, jodohku juga bermula di sini. Cinta pandang pertama (tahun 1975) di atas padang inilah yang membawa aku dan isteriku (Adibah) ke jinjang pelamin. Waktu itu, aku dalam Tingkatan 4 (lihat tajuk MY MARRIAGE).